Thursday 24 July 2014



SEJARAH PERUNDANGAN ISLAM DI MALAYSIA 



Sejarah perundangan Islam di negara kita bukan bermula selepas kemerdekaan, malah telah wujud  pada setiap era semenjak kesultanan Melayu, serta mengalami episod pasang surut akibat daripada penjajahan sehingga kini.

Sebelum era penjajahan, Islam telah datang ke Kepulauan Melayu pada abad Pertama Hijriyyah bersamaan abad Ketujuh Masehi. Ini berasaskan dari laporan orang Cina dan penemuan kesan-kesan sejarah yang menunjukkan bahawa saudagar Arab Islam telah membuat penempatan dan menyebarkan Islam di Kedah dan Palembang.

Perkembangan Islam mula berlaku dengan pesat pada kelima belas Masehi melalui Empayar Kesultanan Melaka. Dalam masa yang singkat sahaja Islam telah tersebar ke seluruh Tanah Melayu, Pulau Jawa, Borneo, Sulawesi dan Mindanao.

Kedatangan Islam ini bukan sahaja mengubah sosio-budaya dan pemikiran masyarakat tempatan di Kepuluan Melayu bahkan juga telah membawa perubahan dari sudut perundangan dan pentadbiran. Bukti sejarah menunjukkan bahawa undang-undang Islam telah pun di amalkan di Tanah Melayu sebelum datangnya penjajah Barat. Perlaksanaan ini melibatkan hukum-hukum Islam secara menyeluruh berkaitan dengan jenayah, urusniaga atau muamalah, kekeluargaan, prosedur dan keterangan.

Kedudukan undang-undang Islam sebelum kedatangan penjajah British bukan sahaja diakui oleh ahli sejarah bahkan juga diiktiraf oleh Mahkamah. Dalam kes Ramah lwn Laton, Mahkamah Rayuan di Selangor telah membuat keputusan bahawa undang-undang Islam ialah undang-undang negeri dan mahkamah hendaklah mengiktiraf dan menggunakan undang-undang tersebut.

Penerimaan dan perlaksanaan undang-undang Islam juga jelas terbukti di dalam teks perundangan berkuatkuasa di negeri-negeri Melayu seperti Hukum Kanun Melaka yang juga dikenali sebagai Undang-undang Melaka.3 Sebahagian besar kandungan undang-undang tersebut berasaskan undang-undang Islam dalam semua bidang termasuklah soal jenayah, urusniaga, kekeluargaan, keterangan dan acara. Umpamanya terdapat hukuman hukuman bunuh balas atau qisas, hukum hudud seperti sebat atau rejam bagi kesalahan zina dan liwat, hukuman sebat ke atas kesalahan qadhaf atau menuduh zina tanpa saksi, hukuman mati bagi kesalahan murtad, hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri, hukuman sebat bagi kesalahan minum arak, kesalahan merompak sambil membunuh, dan hukuman mati bagi penderhaka. Hukum Kanun Melaka juga memepruntukkan hukuman berkaitan dengan hukum taazir dan diat di samping beberapa di samping beberapa peruntukan berkaitan dengan urusniaga atau muamalat seperti pengharaman riba, kesahihan sesuatu kontrak, kontrak jual beli, pinjaman dan amanah yang selari dengan hukum Islam.

Manakala di Negeri Perak pula, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan atau dalam bahasa Inggerisnya “Ninety Nine Laws Of Perak”  yang dikarang oleh Penghulu Teja Tuan Syed Yunus b. Syed Alwi adalah merupakan undang-undang yang tertua sekali dalam negeri Perak. Ianya adalah berkisar tentang Hal Ehwal Agama. Tarikh yang tepat mengenai penguatkuasaan undang-undang ini tidak dapat diketahui, cuma penguatkuasaan undang-undang ini telah dilaksanakan sehingga ke tahun 1900.

Dalam era penjajahan, Undang-Undang Islam yang dimodifikasikan dengan adat Melayu yang menjadi 'law of the land'  bagi negeri-negeri Melayu telah disempitkan  dengan undang-undang yang hanya terhad dalam urusan perkahwinan, perceraian orang-orang Islam. 



Secara ringkasnya, perlaksanaan undang-undang Inggeris di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak menyebabkan undang-undang Islam tidak lagi diamalkan seperti sebelumnya. Undang-undang Inggeris ini diperkenalkan oleh British melalui dua cara iaitu:

Melalui undang-undang bertulis iaitu dengan menguatkuasakan undang-undang baru yang bersumberkan undang-undang Inggeris seperti Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah, Kanun Acara Sivil, Enakmen Keterangan, Enakmen Kontrak dan Enakmen Tanah.
Melalui keputusan para hakim yang kebanyakannya terdiri dari hakim-hakim British. Mereka membuat penghakiman berdasarkan prinsip Common Law Inggeris dan mewujudkan prinsip perundang yang mengikat mahkamah di negeri-negeri Melayu.

Pada ketika itu, undang-undang ini telah digantikan dengan suatu undang-undang lain yang dikenali sebagai Undang-undang Pentadbiran Perkahwinan Orang-orang Islam Bab 197 FMS. Oleh yang demikian, didirikan sebuah bangunan sebagai pejabatnya yang bertempat di kawasan Pejabat Qadhi Wilayah Kuala Kangsar yang dinamakan sebagai “Balai Syarak”. Di pejabat tersebut ditempatkan seorang Qadhi Besar yang mengetuai beberapa orang Qadhi Wilayah. Wilayah Qadhi pada masa tersebut ialah Tanjong Malim, Tapah, Teluk Intan, Batu Gajah, Ipoh, Setiawan, Taiping, Simpang Lima, Kuala Kangsar, Selama, Lenggong dan Parit. Di kalangan orang-orang Melayu pada masa tersebut, perkataan Qadhi Besar kurang diketahui umum kerana panggilan “Chief Qadhi”  lebih terkenal.

Walaupun begitu, usaha memartabatkan perundangan Islam dalam negeri Perak tidak dipandang sepi oleh Sultan dan para alim ulama pada ketika itu. Hasilnya pada 23 Oktober 1949 bersamaan 1 Muharram 1369 Hijrah iaitu pada hari Ahad, kerajaan Perak telah mewujudkan sebuah pejabat agama yang dinamakan sekarang sebagai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Penubuhan ini adalah bertujuan untuk menasihati dan membantu Sultan dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan Adat Melayu Perak di negeri Perak. Pada 1 Mei 1952, Kerajaan Perak telah meluluskan Undang-undang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Seterusnya pada 1 Mei 1965, Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Perak pula telah diluluskan sebagai pengganti kepada undang-undang sebelumnya.Dengan penubuhan Majlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak ini, pejabat Qadhi Besar yang sebelum ini berada di Kuala Kangsar telah dipindahkan dan disatukan di Ipoh. Di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam pula, beberapa bahagian tertentu telah diwujudkan bagi melancarkan sebarang urusan yang dijalankan. Bahagian-bahagian tersebut adalah :-

i )         Bahagian Fatwa – dipengerusikan oleh Mufti.
ii )        Mahkamah Syariah – diketuai oleh Qadhi Besar dan Qadhi Besar Daerah.
iii )       Bahagian Pelajaran – dikelolakan oleh Nazir.
iv )      Bahagian Am – di bawah pentadbiran seorang Kerani Besar yang menjalankan urusan untuk semua bahagian.

Selepas Kemerdekaan
Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pada tahun 1963, Sabah dan Sarawak telah bergabung dengan Tanah Melayu dan mewujudkan negara Malaysia. Undang-undang tertinggi bagi negara adalah Perlembagaan Persekutuan dan badan perundangan tertinggi adalah Parlimen yang terdiri daripada Yang Dipertuan Agung, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi adalah perlembagaan itu sendiri dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah terbatal setakat yang bercanggahan itu.9 Perlembagaan juga meletakkan urusan pentadbiran agama Islam dan undang-undang Islam di bawah bidangkuasa kerajaan negeri. ‘agama Islam’ yang dimaksudkan di sini dihadkan kepada perkara-perkara berkaitan undang-undang keluarga, wakaf, pusaka, serta pengurusan zakat, baitul mal dan masjid. Perlembagaan juga memasukkan peruntukan berkaitan dengan mahkamah Syariah di bawah bidangkuasa kerajaan negeri.

Di samping itu skop undang-undang Islam yang boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri ini adalah terhad kepada perkara-perkara berbentuk undang-undang peribadi, undang-undang keluarga dan beberapa perkara lain seperti yang disebut oleh Senarai Negeri itu. Ini termasuklah hukum pewarisan, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat, wakaf, amanah khairat, adat istiadat Melayu, zakat, fitrah, baitul mal, masjid dan surau.

Ia juga meliputi kesalahan jenayah syariah seperti yang berkaitan dengan rukun Islam serta peraturan bagi mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara penganut Islam, di samping perkara yang berkaitan dengan mahkamah Syariah seperti keanggotaan, penyusunan dan cara pentadbiran mahkamah tersebut.

Undang-undang yang meliputi perkara di atas juga terhad hanya kepada penganut agama Islam sahaja. Ia juga hanya boleh berkuatkuasa setakat tidak bercanggah dengan undang-undang Persekutuan.



Sistem Mahkamah Syariah
Bidangkuasa Mahkamah Syariah


Mahkamah Syariah adalah mahkamah dengan bidangkuasa khas bagi membicarakan kes-kes yang terletak di bawah bidangkuasa kerajaan negeri yang berkaitan dengan agama Islam sebagaimana yang terdapat di dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Kewujudan Mahkamah Syariah adalah akibat sistem dualisme dalam pentatadbiran sistem kehakiman di Malaysia.

Sebelum kedatangan penjajah, kerajaan negeri-negeri Melayu terutamanya Melaka meletakkan kuasa mahkamah berasaskan undang-undang Islam dengan menjadikan Sultan sebagai tribunal rayuan tertinggi. Penjajah British telah mewujudkan Mahkamah Sivil yang berasaskan undang-undang Inggeris dengan bidangkuasa yang luas. Mahkamah Syriah diletakkan ditempat yang rendah dan mempunyai bidangkuasa yang terhad.

Selepas mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan meletakkan bidangkuasa Mahkamah Syariah di bawah kerajaan negeri. Ia hanya diberi kuasa untuk membicarakan perkara-perkara yang terdapat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu bagi perkara yang meliputi undang-undang keluarga, zakat, wakaf, kasalahan berkaitan rukun Islam sahaja.

Ia juga hanya boleh membicarakan penganut agama Islam sahaja. Bidangkuasa jenayahnya pula terhad kepada hukuman penjara yang tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM 5,000 atau sebat tidak melebihi enam sebatan atau kedua-duanya sekali.13

Organisasi Mahkamah Syariah

 
Pada peringkat awal Mahkamah Syariah berada di bawah Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam tiap-tiap negeri. Bagi meningkatkan kecakapan Mahkamah Syariah, pentadbiran Mahkamah Syariah telah dipisahkan dari Jabatan Agama Islam serta Jabatan Mufti.

Struktur Mahkamah Syariah terdiri dari tiga peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Mahkamah Rayuan Syariah adalah badan kehakiman syariah tertinggi yang dianggotai oleh panel yang dilantik oleh Sultan. Terdapat seorang Ketua Hakim Syarie yang mengetuai badan kehakiman Mahkamah Syariah. Struktur Mahkamah Syariah sentiasa dikemaskini dari masa ke masa bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di Malaysia.




Konflik Bidangkuasa Mahkamah Syariah-Mahkamah Sivil


Walau pun bidangkuasa Mahkamah Syariah telah ditentukan oleh Perlembagaan, namun terdapat beberapa kes yang menimbulkan pertindihan kuasa di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Terdapat mahkamah sivil yang membicarakan kes yang sepatutnya tertakluk kepada bidangkuasa mahkamah Syariah.14

Perkembangan ini telah cuba diatasi pada tahun 1988 melalui pindaan15 Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Parkara 121(1A) yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan awam tidak boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Pindaan ini sedikit sebanyak telah mengangkat martabat Mahkamah Syariah dari campur tangan oleh Mahkamah Sivil. Ini terbukti dengan beberapa kes mahkamah yang diputuskan selepas pindaan tersebut.

Kesan pindaan ini telah diiktiraf di dalam kes Mohamed Habibullah lwn Faridah [1992] 2 MLJ 798 apabila mahkamah memutuskan bahawa seorang isteri yang beragama Islam tidak boleh membawa tuntutan di Mahkamah Sivil untuk mendapat gantirugi dan injunksi terhadap suaminya yang dikatakan melakukan serang sentuh dan gangguan terhadapnya. Bahkan permohonan tersebut hanya boleh dimohon di Mahkamah Syariah memandangkan ia tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Walau bagaimana pun peruntukan ini belum mampu mengatasi sepenuhnya masalah pertindihan kuasa ini. Ini kerana masih terdapat ruang yang membolehkan Mahkamah Sivil membicarakan perkara yang tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Di samping itu terdapat beberapa statut yang boleh menyebabkan konflik bidangkuasa di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
  
Contohnya Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 hanya terpakai untuk bukan Islam. Tetapi seksyen 51 Akta itu memperuntukkan bahawa jika salah satu pihak samada suami atau isteri memeluk Islam, pihak yang tidak memeluk Islam boleh mempetisyen untuk perceraian dalam tempoh tiga bulan dari pemelukan Islam itu. Peruntukan ini menjadikan seolah-oleh kemasukan Islam itu satu kesalahan yang membolehkan pihak lain memohon perceraian sedangkan pihak yang memeluk Islam itu tidak mempunyai apa-apa hak di bawah Akta tersebut.  

Akhirnya, memahami sejarah bukan semata-mata untuk pengetahuan, tetapi ianya suatu perjuangan  yang harus disambung oleh generasi seterusnya bagi memartabatkan semula perundangan ini. 




No comments:

Post a Comment